Saturday, June 19, 2010

KAJIAN SENAMAN

Mereka yang tidak selalu bersenam sehingga mencapai umur 50 tahun masih boleh memperoleh manfaat daripada aktiviti fizikal, tetapi mungkin mengambil masa lama merasai kesannya, kata seorang penyelidik Sweden.
Kajian yang membabitkan 2,205 lelaki dari Sweden yang diikuti selama lebih 20 tahun mulai usia 50 tahun menunjukkan mereka yang menunggu sehingga lewat usia untuk memulakan aktiviti fizikal boleh mendapat manfaat seperti mereka yang mengamalkan senaman sejak usia muda.
"Orang muda sememangnya diketahui mendapat manfaat daripada senaman tetapi ini adalah kali pertama kami dapat menunjukkan bahawa orang tua juga boleh mendapat manfaat daripada aktiviti fizikal," kata Liisa Byberg, penyelidik di Universiti Uppsala, Sweden."Tidak terlambat untuk memulakannya."
Penyelidik membahagikan suka rela berkenaan kepada kumpulan aktiviti tinggi, sederhana dan rendah. Kira-kira separuh daripada lelaki berkenaan melaporkan senaman tahap tinggi, menyamai sekurang-kurangnya aktiviti sukan atau melakukan kerja berat di kebun selama tiga jam setiap minggu.Kira-kira satu pertiga menyatakan mereka bersenam secara sederhana, dengan berjalan dan mengayuh basikal, sementara yang lain melakukan sedikit atau tiada senaman langsung, lapor penyelidik berkenaan dalam Jurnal Perubatan British.Tidak mengejutkan, kadar kematian adalah paling tinggi di kalangan kumpulan kurang bersenam dan paling rendah di kalangan suka rela paling aktif dalam tempoh lima tahun pertama kajian itu.
Namun selepas 10 tahun, mereka yang mula bersenam pada usia 50 tahun juga mempunyai kadar kematian sama dengan mereka dalam kumpulan aktiviti tinggi.Kesannya sama seperti membuang tabiat merokok dan kajian itu mencadangkan kajian lanjut dilakukan untuk melihat berapa banyak aktiviti fizikal diperlukan untuk memberi kesan ke atas kesihatan. - Reuters

by RED CROSS STORE

No comments:

Post a Comment